Surat-Surat

Thursday, November 23, 2006

PANTAI BERUBAH
(Sebuah hadiah harijadi)

I
Pantai itu adalah keindahan.

II
Pantai itu adalah kejelitaan penuh percanggahan.

Ia adalah garis penemu, antara samudera yang penuh ketakjuban, dan benua yang sarat dengan pelbagai beban. Ia persinggahan untuk jiwa-jiwa dalam pelarian. Lari dari susun atur ketentuan hidup, mencari tenang dalam arus liar gelora lautan.

III

Aku sudah sekian lama memerhatikan gadis kecil itu.

Asalnya dia dalam sekumpulan anak-anak yang keriangan bila dilepaskan bermain air. Bersorak-sorai. Melompat berkeceburan ke dalam air paras lutut. Memercik, menyimbah air laut antara satu sama lain. Jerit protes bila terasa dikasari. Ketawa mengejek oleh yang menyakat. Rengekan dan omelan dari yang disakat. Riuh rendah pantai yang biasanya sepi itu.

Gadis kecil itu, mungkin tujuh. mungkin lapan tahun, ke sana ke sini dilingkari pelampung di pinggangnya. Dia bukan yang tertua di kalangan anak-anak itu, tapi dia antara yang terjal. Bila dipercik air laut ke mukanya, dia menarik kaki si penyakat agar jatuh tenggelam dalam air. Bila kawannya itu muncul dari laut kekuyupan dan tercungap-cungap terperanjat, disimbah pula mukanya, hingga si penyakat pula menjerit-jerit minta jangan disakat balas.

Aku jadi semakin rindu kepada Amnia. Entah sudah besar mana dia sekarang.

IV

Tangisan melengking. Dua orang perempuan awal 20an, seorang bertudung, seorang tidak, yang mulanya santai bersembang di bawah pokok ketapang, meluru ke gigi air. Kumpulan anak-anak yang tadinya riuh-rendah itu diam terpegun. Anak lelaki yang tadinya paling kuat menyakat sedang melolong kesakitan, terduduk di atas pasir memegang kaki kanannya.

Kecoh mulut perempuan bertudung itu bertanya apa yang terjadi. Didukungnya anak lelaki itu, dan terkocoh-kocoh dibawa ke darat. Temannya yang tidak bertudung membebel kepada gadis kecil terjal tadi, kemudian dia menggendong anak terkecil dalam kumpulan itu, dan bergegas naik ke darat. Anak-anak yang lain masih terpinga-pinga. Seterusnya, satu demi satu mula meninggalkan gigi air mengekori kedua perempuan tadi.

Yang tinggal di pantai hanya gadis kecil terjal itu. Tercegat merenung kawan-kawannya pergi. Menggaru-garu lengan. Kakinya menguis-nguis pasir.

Setelah semua yang lain menghilang naik ke darat, dia berlutut mengorek pasir. Pasir yang dikaut disumbat ke dalam sebiji baldi kecil. Ditekannya pasir itu padat-padat. Baldi ditelangkupkan. Baldi ditepuk-tepuk. Baldi ditarik ke atas. Tinggallah bongkah pasir peroi lembap. Diulang-ulang. Menjelmalah bongkah-bongkah menjadi benteng sekelilingnya. Dia dipayungi redup senja. Dia tidak peduli apa di sekitarnya.

Kemudian datang bencana.

V

Aku rasakan laut mula resah. Air pasang mula naik, tapi selalunya arus tidak sebengis ini. Tiba-tiba ombak menjadi garang. Ia tadinya hanya mengusap pasir. Kini membantingkan diri sekeras-kerasnya ke pantai. Ia tadinya berdesir. Kini mula mengaum.

Segala penggera dalam naluri ini berbunyi. Aku pernah melihat ombak membuas sebegini. Ini ombak yang lapar. Ini lautan yang tidak mesra.

Aku pernah melihat laut tiba-tiba mengundur tanpa surut. Arus yang tiba-tiba bagaikan malu hendak singgah di pantai. Laut yang tiba-tiba datang menyerbu kembali, ditolak ombak tinggi. Arus yang tiba-tiba menyapu segala di laluannya. Ombak buragas yang melanda deras, lalu berpatah balik dan merampas segala yang dirempuhnya.

Aku pernah merasa dilarikan ombak buragas.

VI

Gadis kecil itu terperanjat apabila satu ombak biadap menghambur di hujung istana pasir yang sedang dibina. Merempuh bongkah-bongkah pasir. Berderai. Hanyut. Si gadis tertolak terbaring di atas pasir kekuyupan. Ketakutan.

Satu ombak lagi menyusul, memandikannya. Dia menjerit ngeri. Baldi di tangannya terlepas. Ditarik ombak ke laut. Dia mengejar baldi. Mencebur ke dalam air. Arus-arus laut lapar kini sudah menggenggam kaki-kakinya.

Dan aku. yang pernah merasa dilarikan laut, tidak lagi melihat gadis kecil itu. Hanya Amnia. Amnia yang bingung. Amnia yang keliru melihat aku dibawa ke tengah. Amnia yang menyangka laut sedang bercanda. Amnia yang ditinggalkan seorang, menyangka kelak aku akan dihantar pulang.

Laut tidak boleh mengambil Amnia. Aku meraung.

VII

” ...... NIAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAA! .........”

Jija masih kebingungan dirempuh ombak. Menggapai hendak mengambil baldi. Suara laut mengaum di kelilingnya, tapi dia masih terdengar jeritan itu.

Bukan suara mama. Bukan suara bibik. Bukan suara Kakcik. Tapi tetap suara perempuan.

Jija tercungap-cungap. Baldi dirempuh ombak ke pantai, dan menghentam perutnya. Jija memeluk baldi dan cuba meloncat keluar dari air. Pasir berkomplot dengan laut mencengkam kedua-dua buku lalinya. Dia jatuh kecebur. Ditolak ombak ke atas pantai. Tergolek terbatuk-batuk tertelan air.

” ...... NIAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAA! .........LARIIIIIIIIIII ........”

Jija mendongak. Perempuan itu sedang tenggelam-timbul tidak jauh dari tempat dia tergolek. Dalam saki-baki cahaya petang, Jija nampak tangan-tangan perempuan itu melambai-lambai. Menghalaunya pergi. Pergi dari laut. Pergi dari bahaya.

Jija bangun perlahan menggigil-gigil kesejukan. Ombak masih membuas, tapi tidak menyentuhnya lagi. Matanya meliar mencari perempuan itu lagi.

Tiada.

Jija menggeletar. Jatuh terduduk.

VIII

”JIJAAAAAAAAAAA! Naikkkkkkkkk! Dah malammmmmm!”

Bibik, perempuan muda tidak bertudung yang mengomelinya tadi berlarian turun ke pantai. Tuala di tangan kanannya berkibar-kibar. Jija masih menggigil. Bibik sampai lantas membalut Jija dengan tuala.

”Sudah .... sudah .... ini sudah dekat malam masih mau mandi laut. Itu mama sudah panggil.“

Jija menunjuk ke laut.

”Bibik, panggil auntie tu balik. Dia tengah mandi.”

Bibik tercengang-cengang. Mencari siapa yang ditunjukkan itu. Laut bergelora, tapi kosong.

“Siapa?”

“Tadi ada auntie mandi. Dia panggil-panggil.”

Bibik menjeling sekitar. Hutan di pinggir pantai. Laut yang makin menganas. Senja yang sudah berlabuh. Bibik keseraman. Dia teringat cerita-cerita tentang pantai itu.

“Husshhhh. Mana ada. Sudah. Mari balik bilik. Nanti ayah marah. Sudah malam.”

Bibik menarik tangan Jija. Jija masih merenung laut.

”Bibik! Bibik! Laut ada hantu?”

”HUSHHHH!!!”

”Babai auntie! Dah malam ni!”

”HUSHHHHH!!!” Bibik sudah tidak berani menoleh ke laut.

Jija menarik tangannya dari genggaman Bibik. Menghadap laut. Melaung.

”Auntie kena balik. Malam-malam ada hantu kopek!”

”HUSHHHHHH!!!”

”Hantu kopekkkkkkkk! Jangan kacau Jija nak balikkkkkkk!”

”HUSHHHHHH!!!”

Bibik merangkul Jija. Lari. Jija memukul-mukul tengkuk Bibik. Bibik tetap lari.

Laut tetap ganas. Senja berlabuh penuh.

IX

Pantai itu juga adalah mukim kenestapaan.

Monday, September 18, 2006

AYU DI BALIK CEMARA II

(sambungan AYU DI BALIK CEMARA)

Seperti malam tadi.

Sama seperti malam-malam lain, aku pulang kerja dini hari.

Sama seperti beberapa malam sebelum itu, dia mengintai dari dalam kelam bayang-bayang.

Dia diam. Tapi dengus nafasnya bagaikan cungapan kuda kelelahan berlumba. Peluhnya adalah sungai-sungai deras mengalir bisu. Terhidu di mana-mana. Dia tenggelam dalam gelap. Tapi api nafsunya marak menyala.

Naluriku menangkap segala isyarat yang tidak dihantar itu.

Aku melajukan langkah. Dia mengekori, menyelinap keluar masuk bayang-bayang, berhati-hati agar langkahnya tak kedengaran. Di telingaku, derap tapaknya bergema bagaikan dentuman loceng gereja.

Bila menghampiri simpang tiga jalan ke rumah, aku sengaja berjalan perlahan. Lampu-lampu berdiri di setiap sepuluh meter. Aku berhenti sejenak di bawah lampu terdekat, membuka beg, mencari-cari. Memantau sekitar. Menangkap sekilas kelibatnya mengundur mengelak lingkungan suluhan lampu. Aku tahu dia terpaku di situ. Angin yang menerpa dari arah laut menghantar bau hapak keringatnya ke sini.

Sosok tubuhnya hilang. Terdengar ada gerakan merempuh tumbuh-tumbuhan renek di bawah barisan pokok-pokok di pinggir simpang. Gerakan yang menjauhiku. Menjauhi, tak semestinya menghindari.

Aku membelok di simpang, mengatur langkah penuh ragu. Tiada lampu di jalan ini. Aku hanya berpandu pada lampu tembok pagar di hujung sana. Menunggu bila dia akan muncul. Kehadirannya amat ketara. Degup jantungnya yang kencang menjadi rentak kepada irama angin mendesir menguak daun.

Tanpa salam, tanpa sapa, satu tangan muncul dari belakang, menyerkup mulutku. Badanku dirangkul kasar, dan satu tangan lagi melilit pinggang, menarikku jatuh tertiarap di sisi lorong. Mukaku mencium pasir-pasir halus. Tangan-tanganku disilang di belakang. Seseorang duduk bercelapak di atas pangkal paha-pahaku. Kejutan dan kejangan seperti sengatan elektrik menular di serata otot-otot yang dipulas, dihempap dan dihenyak.

Aku merintih sakit di balik serkupan tangan. Kaki-kaki meronta cuba melemparkan penunggang yang bertenggek. Tangan yang menyerkup mulut itu ditarik. Sebagai ganti, satu lempangan keras hinggap di sisi kanan mukaku. Kepalaku terpusing ke atas. Pandangan berpinar. Dalam kelam-kabut itu, terpandang sosok tubuh berdiri. Terlihat bayang kaki kanannya dihayun. Kaki berbalut kasut kulit tapak getah tebal yang derap langkahnya bergema bagai loceng gereja itu hinggap di rusuk kananku, dan pandanganku yang berpinar meletus menjadi ledakan bunga api diiringi rasa sakit tidak terperi. Aku berguling dua kali sebelum tertiarap lagi, longlai.

Angin dari pantai menderu semakin keras. Daun-daun pokok cemara yang memayungiku berdesir bising. Seperti ada suara-suara ketawa dari atas sana. Mengejek aku yang termengah-mengah.

Di penjuru mata kananku ada daging terguris, mungkin oleh cincin, mungkin oleh kuku, sewaktu tamparan itu hinggap. Darah menitis ke kelopak mata.

Dalam mengah kesakitan, ternampak samar-samar ada lembaga mengutip beg galasku yang terpelanting di atas lorong tadi. Beg diterbalikkan. Digoncang-goncang. Tiada apa yang keluar. Beg itu kosong malam ini. Seperti malam semalam. Macam malam sebelumnya. Memang selama-lamanya tidak berisi. Beg dibaling ke dalam gelap.

Bodoh! Dalam mengah kesakitan, aku terkekeh-kekeh ketawa.

Penendang hinggap di paha kiriku. Aku terlentang pula. Dia bercelapak lagi di atas perutku. Penampar datang silih berganti di kedua-dua belah pipiku. Darah bersembur dari mulut.

Dia menindih tubuhku. Kaki menekan kaki ke tanah. Pinggang memaku pinggang. Dia mungkin setengah kaki lebih tinggi daripadaku, maka sekujur badanku terperangkap di bawahnya. Satu tangannya memegang pergelangan kedua-dua tanganku, dikunci di atas kepalaku,

Jangan, jangan, aku merintih.

Dia terpancing.

Diam! dengusnya. Tangannya yang satu lagi merentap blaus putih uniformku terbuka. Dadaku dijamah udara pagi. Diramas oleh tangannya.

Bila dekat begitu, baru kunampak jelas wajah lembaga itu. Gelap orangnya. Rambut ikal berserabai. Berjambang tebal. Mata liar. Badannya tinggi, tidak tegap, tapi kurus dengan otot berpintal. Dia selalu kulihat bersidai berhampiran resort, memerhatikan kami yang pulang dari kerja syif malam. Sejak sebulan lalu, terasa matanya menelanjangiku setiap kali aku lalu. Sejak dua tiga minggu lalu, dia mula mengekoriku.

Mulutnya yang busuk turun mencium leherku. Aku meronta. Dia menghempap. Tangannya turun dari dada ke bawah perut, terasa meneroka butang dan zip seluar panjangku. Aku mengepitkan paha, cuba menghalang.

Diam! Sial! hentaknya dan tangannya terus meliar meragut kancing seluarku. Koyak serta-merta. Kepalanya dihantukkan ke dahiku. Mataku berpinar lagi dan aku berhenti melawan.

Dalam pada aku mamai, tangannya cergas menarik-narik seluarku turun. Kulit punggungku ditusuk-tusuk daun dan ranting kering, dilekati pasir. Badannya terus melekap padaku. Paha menindih paha. Pinggang mahu menggerudi pinggang.

Mamaiku mula reda. Aku hanya mampu mendongak ke langit. Malam tiada awan. Angin dari laut masih menderu. Di celah-celah dedaun cemara yang menari dibuai angin, bulan penuh menjenguk malu.

Tangannya menerobos ke celah kaki-kakiku, mencari sesuatu. Mukanya kehairanan seketika, kemudian nampak gugup. Tangan masih meraba-raba. Mencari sesuatu yang sememangnya tiada. Menemui sesuatu lain yang sepatutnya bukan di situ.

Dalam kesakitan, aku terkekeh-kekeh lagi.

Siapa engkau? Dia panik. Tubuhnya masih menghempap badanku, tapi tidak lagi seghairah tadi. Dia melutut mengangkat pinggangnya tinggi-tinggi. Segala kekangannya menjadi lemah. Tangan-tanganku bebas.

Kekehan aku menjadi ketawa panjang. Lucu mengenangkan mukanya yang asalnya buas dengan kejantanan, sudah menjadi gugup kehairanan.

Apa engkau? tanya dia lagi, suaranya bergetar takut.

Dia mahu bangkit, tapi kusambar kepalanya.

Tak suka saya, bang? tanyaku manja. Dia terperanjat bila kutarik kepalanya rapat ke mukaku. Kaki-kakiku membelit pinggang dan bersilang di ponggongnya, menekannya rapat ke pinggangku.

Dia pula meronta-ronta mahu lepas. Kami berguling dan kini dia di bawahku, tersepit, terpaku. Satu tanganku mencekik lehernya. Dengan tangan yang satu lagi, rambutku yang telah terurai kutarik ke atas.

Saya cantik tak bang? tanyaku.

Kutarik rambut lagi. Dia hanya tercungap-cungap menggelupur. Kutarik rambut. Kulit daguku tetas. Tetas merebak ke bibir, telinga, mata. Dia terbeliak. Mulutnya ternganga tanpa suara. Tetas menjadi koyak. Koyak menjadi rabak.

Suka saya bang? tanyaku bila wajah asliku menjelma. Saya cantik tak bang?

Angin laut semakin kuat menderu. Menjadi suara latar kepada satu lolongan.

Di bawah cahaya tersipu sang bulan, aku membongkok, dan mula makan.

(bersambung)

Copyright (c) 2006 Letterman

Thursday, August 31, 2006

AYU DI BALIK CEMARA

Pengurus syif bertanya apakah aku tidak bimbang bekerja syif malam. Datang kerja larut malam dan habis bekerja sesudah subuh. Ganjil bunyinya. Pertama kali aku ditanya begitu lepas enam bulan bekerja di sini.

Tak ada pula, jawabku.

Pengurus menggeleng-geleng kepala. Berjaga-jagalah, katanya. Banyak kes jenayah berlaku sekarang. Aku angguk-angguk, tapi kurang senang dengan matanya yang melekat di dadaku.

Polis jumpa mayat lelaki di bangunan sebelah pagi tadi, sambung pengurus syif, kini sudah beralih berdiri di sebelahku di belakang kaunter. Di basement tiga. Mukanya disiat senjata tajam.

Aku cuma diam, menahan pergerakan agar tidak bersentuh dengannya.

Pengurus syif menapak sedikit ke belakang. Lama juga dia tidak bersuara. Cuma terdengar dengus nafas ditarik dalam-dalam. Nafas dilepaskan perlahan-lahan. Aku toleh ke belakang. Sempat menangkap matanya merenung punggungku. Dia gugup seketika.

Eh, wangi you malam ni. Perfume baru?

Tak adalah, perfume sama macam saya pakai hari-hari, jawabku acuh tak acuh. Bagus. Bau hamis semalam, kalau masih ada, tenggelam di bawah minyak wangi.

Isteri you dah bersalin, Encik Asan? aku menoleh lagi.

Berubah muka pengurus syif. Dahinya berkerut, mendung muncul di raut muka. Dua tiga minggu lagi, jawabnya perlahan. Kemiangannya tiba-tiba mengendur. Dia berdehem-dehem, kemudian menghilang ke pejabat. Aku melepaskan nafas lega.

Tanpa disangka, malam itu jadi sibuk. Sekumpulan pelancong dari China tiba lewat, selepas tengah malam, kerana pesawat charter rosak. Walau tangan-tangan sibuk mendaftar mereka masuk ke bilik seorang demi seorang, aku teringat-ingat cerita mayat lelaki dengan muka tersiat. Tertanya-tanya apa agaknya yang dilaporkan.

Hampir jam empat pagi baru aku dapat berehat. Turun ke kafeteria. Ruang makan kosong, kecuali dua orang – pengurus syif dan penyelia keselamatan syif malam – sedang berborak sambil minum teh tarik. Selera makan tertutup. Aku berjalan menyeberang ruang makan ke kaunter hidangan. Beli sandwic dan pisang. Bila berpatah balik ke pintu, kedua-dua lelaki itu tersengih-sengih melirik pisang di tanganku.

Naik semula ke pejabat. Suratkhabar sudah sampai. Kucapai senaskhah dan duduk di kubikel paling jauh dari bilik pengurus syif. Berita muka hadapan, walaupun bukan tajuk utama: Lelaki Mati Muka Ditoreh. Aku membaca sambil makan.

Bodoh! aku menggerutu bila habis membaca. Kenapa mudah saja menganggap si mati itu adalah mangsa? Tidakkah mungkin juga si mati itu sebenarnya pemangsa?

Jangan tipu aku. Aku tahu.

(bersambung)

Copyright (c) 2006 by LetterMan

Wednesday, August 09, 2006

SURAT RAYUAN DEMI PERI KEMANUSIAAN

Sahabat saya Sdr Pengantin,

Tahniah di atas perkahwinan sdr yang bakal menjelang. Kami kawan-kawan semuanya mengucapkan tahniah dan selamat berbahagia, serta semoga jodoh berpanjangan, dan insya Allah kami hadir di majlis saudara.

Bagaimanapun, setelah mengambil tahap tepu rakyat Malaysia terhadap laporan-laporan media berkaitan perkahwinan, sukacita kami mencadangkan kepada sdr dan bakal isteri agar tidak terjebak dalam perkara-perkara anti-sosial seperti berikut:

(1) Sekiranya sdr bercadang mengadakan majlis perkahwinan di pusat-pusat persidangan seperti Kuala Lumpur Convention Centre, diharap sdr dapat memberi pertimbangan kepada pengguna-pengguna jalanraya di sekeliling tempat majlis itu diadakan. Besar harapan kami sekiranya sdr tidak menyekat atau mengubah laluan trafik, terutamanya ketika sdr mengadakan raptai penuh majlis perkahwinan pada hari dan masa orang-orang tengah sibuk nak pergi atau balik dari kerja.

(2) Kami tidak mempunyai halangan sekiranya sdr dan isteri mengimpikan majlis perkahwinan ala ”Cinderella”. Mana-mana pasangan pengantin juga berhak memilih tema-tema seperti ”Beauty and The Beast”, ”Snow White & The Seven Dwarfs”, ”Happy Happy Puffy Amy Yumi”, ”PowerPuff Girls”, ”Courage The Cowardly Dog”, malah ala ”Basic Instinct” atau “XXX”, err, maksud saya, ”X-Men”, sekali pun. Kami hanya memohon jasa baik sdr agar tidak menghuraikan impian sdr dengan panjang lebar dalam surat khabar, contohnya tentang gaun pengantin tujuh lapis (tak panas ke?), kek tujuh tingkat dengan bertangga, naik kereta kuda tujuh roda dan sebagainya. Sesungguhnya, dalam zaman di mana kita perlu memulihara alam sekitar, amat tidak wajar sekali banyak pokok terpaksa dikorbankan untuk diproses menjadi kertas suratkhabar, tetapi dicetak dengan cerita-cerita fantasi seperti itu.

(3) Adalah juga dicadangkan agar sdr dan pihak keluarga belah pengantin perempuan, utamanya ibu bapa mertua, membuat ”message alignment” agar tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bercanggah berkaitan perkara-perkara seperti duit hantaran. Sesungguhnya kami tidak mempunyai apa-apa halangan tentang jumlah duit hantaran, sama ada RM88,888.88 atau RM22,222.22 atau RM00,000.00, dan juga tidak hirau sama sekali sekiranya duit hantaran itu dibayar dalam bentuk Ringgit Malaysia, rupee Sri Lanka atau menggunakan kad kredit. Yang penting, sdr dan isteri selamat diijabkabulkan menepati kehendak-kehendak syariah.

(4) Sekiranya sdr dan isteri bertuah menerima tawaran mana-mana stesen televisyen agar majlis sdr disiarkan secara langsung di tv kelak, besar harapan kami sekiranya sdr memaklumkan stesen televisyen tersebut agar tidak membatalkan rancangan-rancangan lain yang lebih penting dan bermakna seperti EPL, CSI, dan Formula 1. Kami juga mengucapkan tahniah sekiranya demi memenuhi permintaan segelintir peminat sdr, sdr perlu melangsungkan majlis perkahwinan tambahan di Inner Mongolia, Swaziland, Bukina Faso atau Solomon Islands, tetapi kami amat amat amat berterima kasih sekiranya sdr memaklumkan kepada semua stesen televisyen di Malaysia agar tidak menyiarkan majlis perkahwinan sdr sepanjang masa, termasuk semasa tayangan Berita Perdana. Mujurlah Akademi Fantasia sudah selesai. Kalau tidak, harus pusingan Final AF terpaksa ditangguh semata-mata nak menyiarkan majlis perkahwinan sdr. Bukankah itu akan menjejaskan pendapatan syarikat-syarikat telekomunikasi negara (Maxis, Celcom, Digi), seterusnya membawa kepada kemerosotan ekonomi?

Jasa baik sdr dan bakal isteri dalam memberi pertimbangan yang adil dan sewajarnya kepada rayuan rakyat marhaen seperti kami amat kami alu-alukan dan didahului dengan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih. Semoga pernikahan sdr dan bakal isteri direstui dan diberkahi Allah s.w.t. Aaaamin.

Selamat menjadi Pengantin Baru!


Salam hormat,
Sahabatmu

Tuesday, July 04, 2006

"Murdering Hotel California"
(to quote Lily Liverbird)

Diterjemah dan diubahsuai secara bebas
oleh LetterMan


Memandu di lebuhraya, malam gelap gelita
Bau hangit kilang getah, bermain di udara
Nun di hadapan sana, kuternampak cahaya
Kepalaku berat mataku penat
Aku mesti berehat

Dia berdiri di muka pintu
Terdengar loceng bergema
Terlintas di fikiranku
"Ini Syurgakah atau Neraka?"
Lilin pun dinyalakan, dia tunjukkan jalan
Dengan setiap langkah kakiku
Terdengar bisikan ...

Selamat datang ke Hotel Kuala Kangsar
Tempatnya cantik (barang pun baik)
Banyak bilik di Hotel Kuala Kangsar
Setiap hari buka, singgah bila-bila

Rantai emas berkilauan, Mercedes Benz menjalar
Dia ada banyak kawan, semua lawa-lawa
Mereka pun menari di bawah rembulan
Ada macam kena pukau, ada macam kena sawan

Lalu kupanggil pelayan, "Bawakan saya teh tarik."
Katanya, "Kita sudah lama tada serve itu minuman encik."
Dan suara itu masih mengusik
Mengejutkan dari tidurku
Terdengar berbisik ...

Selamat datang ke Hotel Kuala Kangsar
Tempatnya cantik (barang pun baik)
Banyak kawan di Hotel Kuala Kangsar
Ipoh mali pun ada, tatak sombong punya

Matanya merah menyala
Dia mengilai ngeri
Katanya, "Kita semua terpenjara atas kehendak sendiri"
Berkumpul dalam kamar
Bagaikan hendak kenduri
Walau ditikam dan disiksa
Ia masih tak mati

Akhir sekali yang kuingat
Aku meluru ke pintu
Mencari jalan keluar
Ke tempat yang dulu
"Relaks, encik," kata jaga.
"Ini tempat masuk saja.
Encik boleh check-out bila-bila,
tapi tak boleh keluar."

Sunday, May 14, 2006

Kedai Lampu

Aku takut masuk kedai lampu.

Banyak orang takut gelap. Takut sesat. Takut ada orang jahat. Takut terperusuk ke dalam lubang. Takutkan binatang - biawak, ular, lipan, jengking, cicak, kodok, kongkang. Takut tersandung batu. Takut hantu.

Aku? Aku takut masuk kedai lampu yang terang-benderang.

Mana ada kedai lampu yang gelap? Kecuali kedai lampu bankrap. Walaupun siang panas membahang, lampu dalam kedai semua terpasang.

Aku terpegun di luar kedai lampu. Dindingnya kaca. Lampu dipamerkan bergantungan dan bertaburan. Bergemerlapan. Kelap-kelip. Berkilauan. Aku termenung di situ, bingung mencari pintu.

Mujur ada orang keluar. Tahulah aku di mana lubang masuk.

Lampu berbagai bangsa. Dari Jerman, dari Belanda, dari China.

Ada lampu yang tumbuh dari lantai karpet. Berbatang halus, gemuk, berukir, berlok. Ada yang bagai tandan kelapa sawit terjulur dari bumbung. Cuma buah-buahnya kaca. Ada lampu terlekap memeluk dinding. Buah mentolnya berbungkus tudung atau telanjang. Ada cahaya kuning hangat. Ada cahaya putih dingin. Ada cahaya oren malap bilik tidur. Ada cahaya merah bilik karaoke.

“Cari lampu bang?”

Suaranya terdengar, mukanya tenggelam di celah-celah buah-buah kristal chandelier. Silau dek kelap-kelip lampu macam dalam ruang tamu banglo Mak Datin yang melobi rumahnya masuk Anjung Sri.

Tak, cari roti canai.

Chandelier, bang? Ni model baru. Dari Austria.”

Ada kertas kecil tergantung pada benang halus. Tertulis 29,499 dalam dakwat biru.

Tangan-tangan aku simpan dalam poket seluar. Jangan gatal sentuh apa-apa.

“Ada study lamp?”

Study lamp?” Kedengaran nada kecewa. Kaki sengkek rupanya mamat seorang ini. Mahu lampu belajar, pergi cari di Giant. “Tak ada, bang. Kita jual lampu import saja.”

Aku pusing-pusing terpinga-pinga. Tuanpunya suara di balik chandelier tadi mengekor penuh curiga. Aku hulur tangan membelek lampu tidur. Si pengekor itu cepat menegur.

Base-nya marmar Itali, bang. EMPAT RIBU.”

Itu sebabnya aku takut masuk kedai lampu macam ini. Tersentuh lampu, tersumpik kaki marmar, terpecah mentol, parah mengganti. Aku ini pengguna kad kredit yang terlampau. Duit mana nak dicekau?

Pusing-pusing lagi, terpinga-pinga. Si pengekor tadi cemas macam gila.

Ada lampu meja terletak molek di atas rak. Bersadur perak. Nampak segak. Lengan mentolnya boleh dongak tunduk, boleh diliuk-liuk. Ada diskaun separuh harga. Seratus lebih.

“Cuba test lampu tu.”

Si pengekor hembus nafas lega. Angkat lampu, sambung kepada sumber elektrik, pasang mentol, picit suis. Tidak menyala. Dia sedikit terperanjat. Lengan mentol didongak. Mentol ditilik, seolah-olah ia akan menyala kalau diherdik. Cabut mentol. Pasang mentol baru. Ketak ketik ketak ketik picit suis. Gelap juga. Plag dicabut dari soket punca elektrik. Disumbat ke soket lain. Ketak ketik ketak ketik. Lampu tetap tak mahu celik.

Keluar pemutar skru. Tapak lampu diumpil. Dawai-dawai merah biru diusil-usil. Ketak ketik ketak ketik. Tak ada hasil. Aku masih melihat keliling, tangan dalam poket seluar. Di dahi si pengekor, anak-anak peluh mula keluar. Sudah sepuluh minit. Dua rakan si pengekor datang membantu. Cabut pasang mentol. Usik-usik dawai. Sudah masuk dua puluh minit, lampu itu masih mogok. Aku sudah hilang minat.

“Tak apalah. Lampu import kurang dari seribu ringgit mungkin memang tak boleh menyala. Biar saya cari yang buatan Malaysia.”

Si pengekor diam. Jelingannya mengiring aku keluar.

Aku sudah tidak takut masuk kedai lampu. Harga ribu-ribu, menyala belum tentu.